Apakah Cryptocurrency?



Seperti yang telah diterangkan dalam artikel ini, cryptocurrency atau matawang kripto adalah wang maya yang hanya boleh digunakan secara online. Ia juga boleh di tukarkan kepada wang biasa seperti Ringgit atau Dollar (macam tukar matawang asing).


Selain Bitcoin, ada beratus-ratus cryptocurrency lagi yang ada sekarang seperti Ethereum, LiteCoin, Ripple, Monero dan sebagainya. Anda boleh tengok infografik untuk cryptocurrency paling popular setakat September 2017 disini.


Apa bezanya cryptocurrency dengan matawang biasa? 

Perbezaan penting macam di bawah:


1. Cryptocurrency hanya wujud dan boleh digunakan di alam maya, sedangkan matawang biasa boleh digunakan di alam maya dan juga di alam sebenar.


2. Cryptocurrency tiada bentuk fizikal - cuma kod komputer dan rekod transaksi. Matawang biasa berbentuk kertas dan wang syiling dan boleh dipegang.


3. Nilai cryptocurrency berubah mengikut sentimen (atau trust) seperti emas. Matawang biasa berubah mengikut tukaran wang asing, politik dan faktor-faktor ekonomi yang lain.


4. Cryptocurrency adalah matawang global dan tidak terikat dengan mana-mana negara atau kerajaan atau dikawal oleh sesiapa. Matawang biasa adalah ditetapkan oleh kerajaan setiap negara dan setiap negara mempunyai matawang yang berlainan. Ia dikawal oleh kerajaan dan bank utama di setiap negara (contohnya Bank Negara di Malaysia dan Federal Reserve di Amerika Syarikat).


5. Jumlah cryptocurrency adalah terhad, seperti emas. Matawang biasa tidak terhad dimana bank boleh mencetak atau mengeluarkan duit baru sekiranya dirasakan perlu oleh sesuatu kerajaan (sejak 1971).


Kenapa kita perlukan cryptocurrency?


Sebelum ia wujud, tiada seorang pun berkata bahawa dunia perlukan cryptocurrency. Banyak teknologi lebih fokus untuk menjadikan sistem online (terutamanya transaksi jual beli) lebih cepat, pantas, murah dan telus, bukan fokus untuk mencipta satu matawang baru.


Tapi pada tahun 2009, satu cryptocurrency terhasil dari cubaan beberapa pengaturcara komputer yang mahu suatu sistem yang lebih telus dan tidak terkongkong dengan bank dan kerajaan. Beberapa cryptocurrency telah dicipta sebelum itu, tetapi hanya Bitcoin yang survive dan diterima umum.


Dan hanya selepas ia berkembang, semua orang pun berkata "Yes, kita perlukan cryptocurrency untuk urusan online yang lebih dinamik. Cryptocurrency adalah satu revolusi dan ia adalah masa depan".


Walau apa pun, ia baru berumur 8 tahun dan masih belum matang. Yang ada sekarang cuma harapan dan aspirasi.


Adakah ia bakal menggantikan matawang sedia ada?


Mungkin ya dan mungkin tidak. Setakat ini wang kripto belum lagi digunakan secara meluas dalam urusan jual beli. Ia masih di peringkat awal. Tapi walaupun suatu hari nanti ia boleh menggantikan mawatang sedia ada, mungkin ia mengambil masa yang lama, sekurang-kurangnya 20 tahun (random guess).


Tapi ia hampir pasti akan menjadi matawang utama di alam digital kerana ia lebih efisien berbanding sistem sedia ada. Walau bagaimanapun, tak ada siapa tahu wang kripto yang mana yang akan survive. Seperti dot.com bubble sekitar tahun 2000 dahulu, banyak syarikat dotcom yang sudah gulung tikar sekarang.


Yang masih bertahan hanya beberapa sahaja. Wang kripto pun kemungkinan besarnya macam tu juga.


Bagaimana mendapatkan cryptocurrency?


Di Malaysia, kita boleh dapatkan wang kripto dari beberapa laman web seperti Luno, Coinhacko, LocalBitcoin, Remitano dan beberapa lagi. Biasanya laman web ini meminta bukti identiti seperti kad pengenalan. Keseluruhan proses pendaftaran boleh mengambil masa 2 hari - seminggu dan semuanya boleh dilakukan secara online sahaja.

Untuk cara buka akaun di Coinhako, boleh rujuk artikel ini.


*Beli atas risiko sendiri. Setakat ini membeli/melabur dalam Bitcoin adalah berisiko tinggi*


Bagaimana menyimpan cryptocurrency?


Anda boleh biarkan wang kripto di tempat anda membuat pendaftaran. Anda juga boleh beli dompet digital dalam bentuk hardware (rupanya macam pendrive). Selain itu anda boleh print public dan private address dengan mencetak dan menyimpan kertas tersebut di tempat selamat.



*Sekali lagi, beli atas risiko sendiri. Setakat ini membeli/melabur dalam Bitcoin adalah berisiko tinggi*


Comments