9 soalan tentang Bitcoin untuk newbie

Imej dari pixabay.com 

1. Apakah Bitcoin? 

Bitcoin adalah sistem/ matawang digital yang boleh digunakan untuk jual beli online. Ia juga boleh digunakan sebagai satu pelaburan (berisiko tinggi). Ia tidak wujud secara fizikal, tetapi cuma ada rekod dalam sistem digital, dalam bentuk nombor dan abjad rawak, contohnya io89742gJGGUSyegt2gf238Yhhg.


2. Siapa yang mencipta Bitcoin? 

Satoshi Nakamoto. Tapi tiada siapa yang tahu siapakah beliau sebenarnya kerana Satoshi Nakamoto hanyalah nama samaran. Bitcoin dicipta pada tahun 2009 dan hanya mendapat sambutan dunia sekitar tahun 2014 dan terus berkembang sejak itu. Ia bertujuan untuk membuat satu 'cryptocurrency' atau matawang kripto yang boleh digunakan di dalam talian tanpa melibatkan institusi kewangan seperti bank.


3. Adakah Bitcoin bakal menggantikan matawang biasa seperti Ringgit/Dollar/Rupiah? 

Bitcoin bukan dicipta untuk tujuan ini. Bitcoin lebih menyerupai emas berbanding matawang fiat (Ringgit/Dollar/Rupiah). Ini kerana jumlah Bitcoin adalah terhad - dijangkakan pada tahun 2140, semua Bitcoin akan habis 'dilombong' dan tiada lagi Bitcoin baru akan muncul. Cuma, mungkin nilainya sahaja akan naik atau turun, seperti emas.


4. Apa yang dimaksudkan dengan 'melombong' Bitcoin? 

Bitcoin dihasilkan apabila komputer berjaya menyelesaikan masalah matematik yang telah ditetapkan dalam perisian Bitcoin. Untuk menyelesaikan masalah ini, komputer memerlukan processor dan juga peranti yang laju, mahal dan mampu untuk bekerja dalam jangkamasa yang lama. Setiap kali satu komputer berjaya menyelesaikan masalah yang kompleks, ia akan diberi ganjaran berupa Bitcoin. Inilah yang dinamakan sebagai 'melombong' Bitcoin.

Jumlah ganjaran ini adalah tetap iaitu 50 Bitcoin untuk setiap masalah yang berjaya diselesaikan untuk 4 tahun pertama, 25 Bitcoin untuk 4 tahun berikutnya, 12.5 untuk 4 tahun berikutnya dan seterusnya sehigga semuanya habis dilombong. Hari ini, ganjaran untuk setiap masalah yang berjaya diselesaikan adalah adalah 12.5 Bitcoin, sehingga tahun 2020 nanti.


5. Bagaimana untuk mendapatkan Bitcoin di Malaysia? 

Bitcoin boleh didapatkan dengan beberapa cara iaitu
  • Menerima bayaran untuk produk/servis anda 
  • Membeli Bitcoin 
  • Melombong Bitcoin 
Tetapi pertama sekali, anda perlu ada 'alamat' Bitcoin atau dalam kata lain, perlu register sebagai pengguna dahulu. Ada beberapa laman web yang anda boleh register untuk mendapatkan alamat ini dan memulakan transaksi Bitcoin.

Laman web ini biasanya menyediakan servis perdagangan (bitcoin exchange) atau Dompet Bitcoin (bitcoin wallet) atau kedua-duanya sekali. Antaranya adalah:
  • Luno 
  • Coinhako 
  • LocalBitcoins 
Proses permohonan untuk setiap laman web ini mengambil masa beberapa hari dan anda perlu memberikan bukti identiti seperti salinan kad pengenalan. Setelah register dan mempunyai alamat Bitcoin, anda sudah boleh menggunakan Bitcoin melalui website tersebut.


6. Dimana Bitcoin boleh digunakan di Malaysia? 

Walaupun masih baru dalam sistem jual beli menggunakan Bitcoin di Malaysia, ia semakin meningkat dari hari ke hari. Untuk senarai terkini boleh rujuk disini.

Tetapi, kerana Bitcoin itu sendiri adalah matawang tanpa sempadan, ia boleh digunakan untuk jual beli antarabangsa. Antara syarikat antarabangsa yang menggunakan Bitcoin buat masa ini adalah Microsoft, PayPal, Amazon, Etsy, Fiverr dan Victoria Secret.


7. Bagaimana untuk melabur dalam Bitcoin?  

Ada dua cara untuk melabur dalam Bitcoin. Pertama adalah membeli Bitcoin secara terus dan kedua adalah 'melombong' Bitcoin. Anda boleh membeli Bitcoin di kebanyakan website yang dinyatakan diatas. Untuk melombong pula, anda boleh pilih antara melombong sendiri (ada komputer berkuasa tinggi) dan atau menyertai syarikat yang melakukan 'perlombongan atas awan' (cloud mining).

Jika anda memilih untuk menyertai cloud mining, anda cuma perlu bayar pakej dan syarikat itu akan memberikan anda komisyen/dividen mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan. Tapi ada banyak syarikat yang melakukan scam. Cara yang terbaik adalah mencari syarikat yang besar dan dipercayai di seluruh dunia.


8. Apa kelebihan menggunakan Bitcoin berbanding matawang biasa? 

Bitcoin dicipta untuk memudahkan transaksi online tanpa melibatkan bank atau pihak ketiga. Tanpa pihak ketiga, beberapa masalah transaksi dapat di atasi contohnya:
  • Tidak ada kos transaksi - kerana transaksi hanya melibatkan pemberi dan penerima 
  • Cepat - ia tidak memerlukan integrasi dengan sistem lain 
  • Selamat - kerana sistem ini menggunakan kaedah kriptografi dalam menutup data sebenar 
  • Sulit - kerana transaksi tidak memerlukan identiti, cuma alamat penerima 
  • Informasi sulit tidak dikawal oleh mana-mana pihak, sebaliknya dijaga oleh semua pengguna di dalam sistem itu sendiri


9. Adakah Bitcoin sah digunakan di Malaysia? 

Pada tahun 2014, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa Bitcoin tidak diiktiraf penggunaannya di Malaysia. Tapi, beberapa hari yang lepas, Gabenor Bank Negara, telah maklumkan bahawa mereka sedang mengkaji garis panduan untuk regulasi Bitcoin dan matawang kripto yang lain. Ini adalah berita yang sangat baik kerana, ia kelihatan seperti Malaysia sudah bersedia untuk menerima cryptocurrency secara serius dan rasmi.

Buat masa ini Bitcoin masih lagi di fasa permulaan. Masih banyak perkara yang tidak diketahui akan terjadi dan terlalu banyak perkembangan dari segi teknologi dan juga penerimaan di seluruh dunia. Ketika Malaysia mula mengkaji untuk menerima Bitcoin, China pula baru-baru ini telah melarang penggunaan Bitcoin sehingga beberapa syarikat perdagangan Bitcoin terpaksa tutup kedai.

Tapi potensi Bitcoin untuk menjadi matawang utama di alam maya semakin diyakini oleh banyak pihak. Kemunculan matawang kripto yang lain juga meyokong jangkaan ini. Tapi akhirnya, hanya masa yang akan mampu menentukan dimana nasib Bitcoin di masa akan datang.


Untuk lebih informasi tentang bagaimana anda boleh bermula menggunakan Bitcoin di Malaysia, boleh juga baca di Ringgit Oh Ringgit (bahasa Inggeris) .

Comments