Ross Ulbricht – kisah hitam dalam sejarah Bitcoin

Ross Ulbricht. Ada orang cakap macam iras pelakon Twilight - Robert Pattinson. Kredit image wired.com


Kalau anda mengikuti perkembangan Bitcoin dan Cryptocurrency, anda mesti pernah terjumpa nama Ross Ulbricht. Ross adalah warganegara Amerika, mempunyai ijazah dalam bidang fizik dengan biasiswa penuh dan mempunyai ijazah sarjana dalam bidang Christallography. 

Dia kemudian berminat dengan ekonomi dan terpengaruh dengan ideologi libertarian.


Permulaan Bitcoin dan Silk Road

Seorang anak muda yang bijak, kisah hitam Ross bermula sejak dia mengenali Bitcoin pada tahun 2009 dan mula mengusahakan satu laman web untuk orang biasa menjual dan membeli barang-barang terlarang (macam ganja dan sebagainya) yang tak sah disisi undang-undang. 

Laman web itu diberi name ‘Silk Road’, merujuk kepada Laluan Sutera yang popular satu masa dulu untuk perdangan antara negara Asia dan Eropah. Ia mula aktif pada tahun 2010.

Pada pandangan Ulbricht, barangan terlarang itu tak sepatutnya diharamkan oleh kerajaan kerana ia adalah pilihan peribadi setiap individu untuk membeli apa sahaja yang mereka mahu. Dua teknologi yang menjadi asas kepada laman web ini adalah Rangkaian Tor dan Bitcoin (yang baru saja muncul dan masih belum dikenali oleh kerajaan).

Rangkaian Tor membolehkan laman web ini dan juga pengguna Silk Road tidak boleh dijejaki lokasinya. Bitcoin pula membolehkan transaksi antara dua pihak tanpa mengetahui siapa sebenarnya disebalik kod ‘alamat’ yang diberikan. Semua mereka berhubung/berkomunikasi antara satu sama lain dengan nama samaran sahaja.

Ross sendiri ada nama samaran iaitu Dread Pirate Roberts.


Silk Road di zaman kegemilangannya


Selama lebih 2 tahun, laman web ini menjana keuntungan yang tinggi buat Ross. Ini kerana untuk setiap transaksi, dia akan menerima komisen. Ia menjadi laman web paling popular untuk jual beli barangan black market – terutamanya dadah, dokumen palsu dan sebagainya.

Silk Road, sebenarnya antara penyebab awal untuk Bitcoin diterima oleh orang awam (selain pengaturcara dan saintis komputer).

Pada tahun 2013, Silk Road mempunyai 1 juta akaun pengguna yang berdaftar. Komisen harian mencecah USD10 ribu sehari (RM42000 sehari, RM1juta lebih sebulan).

Laman web Silk Road (tak pasti yang sebenar atau tak). Kredit image theguardian.com


Disebabkan ini juga, laman web Silk Road mengundang penggodam komputer untuk menyerang sistem dan meminta wang tebusan. Ada juga pengguna yang mengugut Ross untuk mengeluarkan data tentang semua pengguna Silk Road jika dia tidak membayar sejumlah wang.

Ia membuatkan Ross bertindak lebih ekstrem, dengan mengupah orang untuk membunuh pengguna tersebut.

Dalam masa yang sama, Ross tidak tahu, bahawa ada antara penjual dan pembeli di Silk Road adalah pegawai FBI yang menyamar -  untuk mencari siapakah dalang kepada laman web haram tersebut. Pegawai FBI juga telah memalsukan pembunuhan yang telah diarahkan oleh Roberts (kerana mereka telah menangkap beberapa orang sebelum itu, dan mereka bekerjasama dengan FBI untuk memerangkap Ross).


Pengakhiran Silk Road dan kejatuhan Ross Ulbricht


30 September 2013 menjadi hari paling malang buat Ross. Hari itu dia pergi ke Perpustakaan Awam San Francisco dan melakukan kerja harian di Silk Road (menjadi kebiasaannya untuk bekerja di lokasi yang berubah-ubah).  

Pada waktu yang sama, FBI juga bersedia dengan rancangan lengkap untuk menangkap Ross dan berada di sekitar perpustakaan itu dan menyamar sebagai orang awam.

Salah seorang pegawai FBI (yang menyamar sebagai pengguna Silk Road yang dipercayai Ross), menghantar mesej kepada Ross dan meminta Ross untuk melihat satu masalah di dalam laman web tersebut. Ross, tanpa berprasangka, terus login menggunakan akaun ‘Administrator’ untuk melihat masalah tersebut.

Setelah dia berjaya masuk kedalam sistem Silk Road, signal diberikan kepada sepasukan agen FBI lain (yang berada di dalam perpustakaan itu juga) dan mereka bertindak berlakon sebagai pasangan kekasih yang bergaduh dengan suara kuat. Ia cukup untuk membuat perhatian Ross terganggu dan dia terus berpusing untuk melihat situasi itu di belakangnya.

Dalam saat itu juga, seorang pegawai polis yang lain terus menyambar komputer riba Ross, dan pegawai yang lain menangkapnya serta merta. Mereka sengaja menunggu dia masuk ke laman Silk Road dengan menggunakan akaun Administrator, kerana hanya dengan cara itu mereka boleh membuktikan penglibatannya dan mendapatkan semua bukti berkaitan.

Muka depan laman web Silk Road sehari selepas Ross ditangkap FBI. Kredit image: wikipedia.org


Pada waktu itu, kehidupan Ross bertukar 360 darjah.

Laman Web Silk Road ditutup keesokan harinya dan Ross dipenjarakan seumur hidup. Pada tahun 2017, dia baru berumur 33 tahun. Setakat ini cubaannya untuk merayu semuanya gagal. Dari seorang yang bijak dan mempunyai masa depan yang cerah, sekarang dia hanya meringkuk dalam penjara. Semuanya kerana Bitcoin dan ideologi liberal yang terlalu ekstrem.





Rujukan:

Buku Digital Gold oleh Nathaniel Popper

Comments