Bitcoin – untuk orang yang tak paham langsung pasal Bitcoin



OK, straight to the point, Bitcoin tu apa?

Bitcoin adalah 'duit' di alam digital.

Ia datang dari sistem komputer. Ia dicipta 9 tahun lalu, oleh komuniti pengaturcara yang bijak pandai. Tujuan mereka cipta duit digital ini adalah untuk memudahkan transaksi digital dan mengubah sistem kewangan sedia ada. Atau, setidaknya, memberikan alternatif kepada sedia ada.


Macam tak logik je nak ubah sistem kewangan sedia ada, too ambitious

Memang too ambitious pun. Tapi diorang bukan mula 2,3 bulan lepas. Sebaliknya 20-30 tahun yang lepas lagi. Antara sebab mereka mahu alternatif adalah:

1. Kewangan dan perbankkan dikawal oleh kerajaan - kalau kerajaan korup, sistem kewangan negara pun akan korup juga.
2. Hanya bank ada kuasa untuk pegang wang rakyat - kalau bank bankrup, duit rakyat pun habis (dekat Malaysia tak rasa sangat, tapi dekat Amerika mereka amat merasai kesan ini selepas krisis ekonomi yang teruk pada tahun 2008 yang menyebabkan beberapa institusi kewangan bankrup).
3. Sistem kewangan sedia ada tak berapa selamat - duit boleh dicetak (ditiru), bank boleh bankrap, dan sebagainya

Kebanyakan orang terawal yang terlibat dengan Bitcoin adalah 'Libertarian' iaitu orang yang tak percaya dengan institusi kerajaan/perbankan/undang-undang sedia ada. Bagi mereka, setiap rakyat perlu ada hak dan kebebasan yang lebih banyak.


Apa kelebihan pakai Bitcoin? 

Atas kertas, Bitcoin dikatakan dapat menjadi lebih baik dari sistem banking dengan cara:

1. Tiada pangkalan data berpusat - jadi tiada organisasi yang ada hak penuh dalam menjaga wang
2. Cepat - tidak perlukan orang tengah dalam transaksi
3. Selamat - sistem Bitcoin tak boleh di salin semula, tak boleh ditipu
4. Privacy - transaksi antara pengguna tak perlukan nama dan ID rasmi

Hakikatnya, Bitcoin masih cuba cara terbaik untuk memastikan keempat-empat cara ni berfungsi seperti yang diharapkan. Setiap satunya ada masalah berbangkit setelah ia digunakan oleh semakin ramai orang sekarang ini.



Tapi kenapa ada orang cakap Bitcoin ini teknologi hebat dan berlumba-lumba untuk beli dan melabur Bitcoin?

Hype dan spekulasi. Mostly sebab hype yang mengatakan ia adalah teknologi hebat dan mampu menggantikan matawang sedia ada, bakal menjadi matawang dunia dan nilai Bitcoin menjadi lebih tinggi dari hari ke hari.

Dan kalau tengok graf, memang harga Bitcoin melambung sehingga mencapai lebih RM30 ribu sekarang untuk setiap 1 Bitcoin. 

Pada tahun 2010, harga 1 Bitcoin hanya sekitar RM1 sahaja. Dengan hanya modal RM100 waktu itu, tahun ini anda sudah jadi jutawan!


Nah sedikit sejarah tentang harga Bitcoin: 

Bermula seawal 2009, Bitcoin tak ada nilai langsung dan kemudian komuniti awal Bitcoin bersetuju untuk memberikan nilai Bitcoin lebih kurang sama dengan harga yang digunakan untuk ‘melombong’ Bitcoin, cuma beberapa sen sahaja waktu itu (nilai itu ditetapkan dengan mengambil kira kos elektrik yang digunakan oleh komputer menjana 1 Bitcoin melalui software Bitcoin).
Sebelum September tahun ini, nilai tertinggi Bitcoin adalah pada November 2013, iaitu 1 Bitcoin bersamaan USD980 (RM4 ribu).

Selepas itu ia merudum jatuh. Ada 2 sebab utama iaitu penutupan Silk Road dan juga kebankrapan syarikat Mt. Gox. 

Silk Road (2011-2013) adalah website e-commerce paling popular yang menggunakan Bitcoin sebagai cara jual beli dadah, senjata dan dokumen palsu. Ya, ia adalah satu perniagaan haram dan jenayah. Perniagaan haram tertarik dengan konsep jual beli cara Bitcoin yang ‘anynymous’ dan ia menjadi platform terbaik untuk tujuan ini. Tapi pada tahun 2013, FBI telah berjaya mengesan dan seterusnya menutup laman web Silk Road. Pengasas dan empunya perniagaan itu – Ross Ulbricht ditangkap dan dipenjara seumur hidup (pada Sept 2017 - dia hanya berumur 33 tahun).

Mt. Gox (2010-2014) pula adalah website utama yang menguruskan jual beli Bitcoin itu sendiri – macam bursa saham. Ia menguruskan hampir 70% dari keseluruhan transaksi jual beli Bitcoin seluruh dunia di zaman kegemilangannya. Tapi ia beberapa kali digodam dan pada tahun 2014, hampir 850 ribu Bitcoin telah hilang (nilainya lebih kurang RM1 billion waktu itu).

Kedua-dua peristiwa ini membuatkan keyakinan terhadap Bitcoin semakin merosot dan harganya jatuh berterusan. Walaubagaimanapun, pada tahun ini (2017) harganya meningkat melebihi nilai paling tinggi pada tahun 2014 dulu sejak Januari dan pada bulan September 2017, nilainya meningkat kepada nilai tertinggi setakat ini iaitu pada USD4673 (RM20 ribu) untuk setiap 1 Bitcoin.

Tapi peningkatan ini terlalu drastik dan exponential. Besar kemungkinan disebabkan ‘technology hype’. Dalam terma ekonomi kita panggil ‘bubble’ bila harga sesuatu barang atau komoditi atau saham menaik secara mendadak, jauh lebih tinggin dari nilai yang sepatutnya (intrinsic value). Antara yang paling popular adalah Dot-Com bubble - yang berlaku di awal-awal kemunculan ‘internet’ pada tahun 1990an. Tapi, masalahnya sekarang, tak ada seorang pun tahu macam mana nak kira intrinsic value Bitcoin – sebab ia konsep/asset digital baru.


Siapa Satoshi Nakamoto dan kenapa dia rahsiakan identiti?

Satoshi Nakamoto adalah pencipta Bitcoin. Tak ada orang tahu siapa Satoshi sebenarnya sebab itu cuma nama samaran yang dia guna dalam laman forum online (Cypherpunks) sekitar tahun 2008-2009 dulu. Sebelum cipta perisian Bitcoin, Satoshi ada tulis ‘Whitepaper’ pasal konsep Bitcoin dan kongsi dekat situ.

Waktu itu, Amerika sedang mengalami kejatuhan ekonomi yang teruk kerana krisis subprime dan menyebabkan ramai rakyat kurang percaya dengan bank terutamanya mereka yang berfikiran liberal seperti Satoshi.

Satoshi mula berfikir, alangkah bagusnya kalau ada sistem baru di mana wang rakyat tak dikawal oleh bank ataupun kerajaan. Bagusnya kalau ada sistem yang tak perlukan bank untuk pegang duit rakyat biasa dimana duit dan nilai duit itu sendiri tak bergantung kepada pihak tertentu.
Maka dari situ bermula lah Bitcoin.

Sebab kenapa dia merahsiakan identiti juga tidak diketahui. Ada yang anggap ia sebab dia memang seorang yang low profile dan tak mahu dikenali. Ada juga beranggapan kerana konsep Bitcoin itu sendiri yang dilihat seakan-akan cuba untuk mengganggu sistem kewangan dan kerajaan sedia ada, ia mungkin akan dilihat sebagai ancaman oleh kerajaan.

Tapi bagi komuniti Bitcoin, kerana software yang dicipta Satoshi berkonsepkan open source dan boleh dilihat dan diperbaiki oleh sesiapa sahaja. Ia juga telah banyak kali di kemaskini oleh pengaturcara lain sejak versi pertama tahun 2009 dulu. 


Jadi apa yang langkah terbaik untuk saya, sebagai orang biasa buat dengan teknologi ini?

Just wait and see.

Melainkan anda adalah pelabur yang boleh membiarkan duit hangus dijilat api (worst case scenario), tak perlu melabur dalam Bitcoin dulu. Kalau pun mahu, mula dengan jumlah yang sikit, yang mana anda boleh biarkan duit itu hangus.

Jangan sekali-kali guna wang simpanan atau wang persaraan untuk melabur dalam Bitcoin.
Kalau anda berminat dengan teknologi ini, belajarlah tentang Blockchain. Mungkin anda boleh mencipta satu sistem blockchain sebagai startup baru untuk masa depan, yang memudahkan sistem sedia ada.


Walau apa pun, teknologi Blockchain, Bitcoin dan Cryptocurrency masih di peringkat permulaan dan tak ada siapa tahu sejauh mana ia mampu pergi. 



Baca juga: 

Comments