Peer to Peer


Peer to Peer membolehkan komputer berhubung dengan satu sama lain secara terus, tanpa ada halangan atau kawalan dari pihak yang lebih berkuasa.


Apa maksud peer to peer dalam Blockchain? 

Dalam konteks Blockchain, konsep peer to peer membuatkan setiap komputer yang ada didalam sistem itu mempunyai hak dan kuasa yang sama rata. Ia boleh berkomunikasi, bertukar-tukar data dan melakukan transaksi dan sebagainya dengan bebas. Paling penting, ia membolehkan semua komputer menyimpan dan mengemaskini data/rekod 'utama' dengan cara demokrasi - iaitu persetujuan semua komputer.

Persetujuan setiap komputer (atau peer) ini tak sama dengan persetujuan 'empunya' komputer (manusia) kerana ia menggunakan algoritma automatik yang dibina didalam sistem itu sendiri. Jadi ia bergantung sepenuhnya kepada keputusan komputer, tiada campur tangan manual manusia.

Apa bezanya dengan sistem yang ada sekarang? 

Berbanding dengan kebanyakan sistem sekarang, di pejabat anda atau di bank atau di dalam organisasi kerajaan, semua data dikawal oleh server dan komputer lain hanya mempunyai salinan data. Semua keputusan untuk menentukan data sebenar hanya diberikan kepada server. Ia seperti konsep tuan dan hamba.

Manakala sistem peer to peer lebih kepada sistem demokrasi dimana keputusan majoriti dianggap paling benar.

Apa kepentingan setting begini dalam Blockchain? 

Konsep peer to peer dalam teknologi Blockchain dianggap menarik kerana ia memberikan kuasa sepenuhnya kepada semua komputer untuk menjaga data dan transaksi tanpa melibatkan sesuatu untuk menjadi 'tuan' atau 'penjaga mutlak' untuk sesuatu data.

Selain itu, ia juga selamat kerana data sebenar ditentukan oleh majoriti. Jadi jika ada penipuan data, semua komputer akan membandingkan data masing-masing, dan data yang paling majoriti akan dikesan sebagai data sebenar.

Comments