Distributed Ledger



Apakah distributed ledger dalam Blockchain? 

Dalam konteks Blockchain, distributed ledger bermaksud, data atau rekod utama tidak disimpan/dikawal/dipunyai oleh satu entiti sahaja. Ia juga dikenali sebagai decentralized ledger.

Konsep ini agak baru kerana dalam kebanyakan sistem yang ada sekarang, semua rekod disimpan di satu tempat dan hanya data dari tempat itu dianggap sebagai data paling dipercayai. Contohnya  nombor kad pengenalan yang disimpan di dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Kad pengenalan yang kita ada hanya 'salinan' kepada data sebenar.


Apa kebaikan distributed ledger sehingga ia menjadi faktor utama untuk teknologi Blockchain? 

Berbalik kepada contoh kad pengenalan. Katakan ada 2 kad pengenalan digunakan dalam satu-satu masa. Jadi macam mana kita nak tahu mana kad pengenalan yang betul? Siapa yang boleh mengesahkan?

Jawapannya adalah JPN kerana hanya mereka mempunyai autoriti untuk berbuat demikian, sebagaimana yang ditetapkan kerajaan. Semua sistem dan rakyat Malaysia percaya bahawasanya JPN adalah organisasi yang paling boleh dipercayai bila ada pertikaian tentang kad pengenalan. Dan hanya mereka yang boleh mengawal integriti data berkaitan kad pengenalan di Malaysia.

Tapi bagaimana kalau ada diantara mereka yang korup dan memberi kad pengenalan kepada mereka yang tak sepatutnya? Apa yang kita boleh lakukan? Nothing.

Lain pula kisahnya dengan distributed ledger. Rekod atau 'data paling dipercayai' bukan dipegang atau dikawal oleh satu-satu pihak sahaja. Ia dikawal oleh semua komputer yang bersambung dengan sistem Blockhain itu dan sentiasa dijaga supaya sentiasa selamat.

Contohnya dalam sistem matawang Bitcoin, semua komputer mempunyai data terdahulu (bermula dari ia dicipta pada tahun 2009 - data pertama dipanggil 'blok genesis') dan sentiasa mengemaskini data baru apabila ada perubahan. Disebabkan ini juga, sistem Blockchain hanya berfungsi satu hala (tak boleh undo) dan tak boleh diubah sesuka hati (immutable) kerana ia bergabung dengan blok-blok terdahulu.

Ia menjadikan data yang ada terlalu susah untuk ditukar. Dan menjadikan data yang baru sukar untuk ditipu kerana ia perlu berlandaskan data terdahulu. Blok-blok data ini akan sentiasa bersangkut paut dan mempunyai kaitan sampai bila-bila. Ia juga bermaksud, tak akan ada data baru yang muncul dengan tiba-tiba.

Secara keseluruhan, sistem ini memang agak komplikated kerana ia melibatkan beberapa algoritma dan aturcara komputer yang kompleks, selain menggunakan kaedah kriptografi untuk merahsiakan data supaya tidak mudah untuk dilihat, walaupun oleh komputer.


Baca juga: 

Konsep Blockchain 1: Apakah 'Blok'
Konsep Blockchain 3: Apakah Peer to Peer

Comments